
‘TANGAN EMAS’ ANAK MELAKA HARUMKAN NAMA NEGARA
BANDA HILIR 22 APRIL – Kemahiran bermain jarum dan benang mengangkat nama Nadratulliyana Ab Malek, 22, di persada antarabangsa apabila gadis ini meraih emas pada WorldSkills ASEAN MANILA 2025 dan WorldSkills Asia Taipei 2025.
Dia langsung tidak menduga minat belajar menjahit tercetus selepas melihat ketekunan kakaknya menyiapkan baju turut membantunya untuk mengharumkan nama negara di peringkat Asia.
Meskipun meraih johan pada pertandingan antarabangsa, Nadratulliyana tetap merendah diri dan mengenang jasa tenaga pengajar GiatMARA Kota Melaka yang banyak mendidiknya hingga mahir dalam bidang jahitan.
Katanya, sesetengah orang menganggap bidang jahitan kurang popular, tidak gah seperti kursus lain namun bagi yang tahu menilai pastinya akan menghargai kemahiran atau ‘skill’ dimiliki setiap individu.
“Mahu menguasai kemahiran dan menggilap skill memerlukan kecekalan dan pengorbanan bukan usaha sehari dua.
“Lebih penting kejayaan saya membuktikan bidang kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjanjikan peluang pekerjaan amat luas jika kita ada kemahuan untuk menerokanya, kemahiran lebih bernilai berbanding sijil,” katanya.
Gadis ini berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.
Berkongsi perjalanannya dalam bidang TVET Nadratulliyana berkata selepas tamat persekolahan dia mengikuti kursus jahitan di GiatMARA Kota Melaka selama tiga bulan, seterusnya mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan SKM Tahap 3 pada 2023.
“Kejayaan diraih bukan untuk di bangga tetapi peluang untuk terus menimba ilmu, insya-Allah saya akan berikan yang terbaik pada pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 September depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


