Sorting by

×

3,200 pengunjung meriahkan Raptor Watch 2023 di Tanjung Tuan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TANJUNG TUAN 12 Mac – Seramai 3,200 pengunjung dalam dan luar negara hadir ke Program Memerhati Burung Pemangsa atau Raptor Watch 2023 di Tanjung Tuan pada 11 dan 12 Mac lepas.

Menurut jurucakap Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, program tersebut telah memasuki penganjuran kali ke-25 pada tahun ini.

Katanya, selain dari memerhati burung, terdapat pelbagai aktiviti lain turut dijalankan seperti Forests Walks, Marine Walks, pertandingan melukis dan mencari harta karun.

“Program ini turut mendapat penyertaan yang menggalakkan dari seluruh dunia termasuk Belanda, Jerman dan Amerika Syarikat bagi menyaksikan kehadiran burung penghijrah seperti Oriental Honey-Buzzard, Gray –Faced Buzzard dan Japanese Sparrowhawk.

“Pemilihan Tanjung Tuan, Melaka sebagai lokasi program adalah kerana lokasinya yang strategik untuk melihat dengan lebih jelas kehadiran burung penghijrah.

“Di samping mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik untuk menarik orang ramai mengenali dengan lebih dekat Tanjung Tuan sebagai daya tarikan bagi eko – pelancongan di Negeri Melaka,” katanya.

Turut dimaklumkan, Program tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Turut mendapat sokongan dari Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Jabatan Perhilitan Negeri Melaka, Pejabat Laut Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia & beberapa agensi lain.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan turut diserikan dengan kehadiran Putera kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al -Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3885
Kongsi :
Previous post Kampung Siaga diperluaskan beri kesedaran kecemasan banjir
Next post Bantuan akan disalur kepada Orang Asli terjejas banjir – TPM
Ubah saiz-+=