PRISMA-CENDANA: RM25 juta diperuntukkan termasuk peruntukan tambahan untuk pulih industri seni budaya

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Inisiatif kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dengan kerjasama Agensi Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) meluluskan peruntukan RM17 juta bagi membantu penggiat seni industri kreatif yang terjejas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah turut memaklumkan pertambahan RM8 juta yang bakal ditadbir urus di bawah CENDANA bagi memastikan momentum pemulihan industri seni budaya dilakukan secara berterusan.

Katanya, PRISMA adalah inisiatif jangka pendek kerajaan bagi membantu kelangsungan serta kelestarian penggiat seni di Malaysia dengan pembudayaan norma baharu dalam keadaan pandemik COVID-19.

“Kerajaan prihatin dan memahami situasi dihadapi penggiat seni dan pekerja di belakang tadbir industri seni budaya yang terkesan daripada pandemik COVID-19.

“Kita tidak mahu seni dan budaya di negara ini pupus dibawa arus Pandemik COVID-19, justeru Kementerian Komunikasi dan Multimedia ambil maklum akan usaha untuk mengembalikan industri kreatif seiring dengan norma baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Inisiatif Pemulihan CENDANA di bawah PRISMA secara maya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehudin dan Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said.

Untuk rekod, sebanyak 32 program disediakan di bawah PRISMA yang bakal memanfaatkan lebih 9,000 penggiat seni kreatif yang terjejas COVID-19 sekali gus usaha itu bakal mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post 12 individu sindiket judi atas talian ditahan
Next post Agong dan Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah
Ubah saiz-+=