37,873 rakyat Melaka lengkapkan dua dos vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER MOLEK 16 Jun – Seramai 37,873 rakyat di negeri ini sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-9 bagi fasa pertama dan kedua, setakat Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu seramai 23,041 orang terdiri daripada petugas barisan hadapan selesai menerima kedua-dua dos suntikan untuk fasa pertama.

Katanya, pada fasa kedua seramai 51,864 penerima membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu yang mempunyai komorbiditi selesai menerima suntikan dos pertama.

“Daripada jumlah itu, seramai 14,832 selesai menerima kedua-dua dos suntikan setakat Ahad lalu.

“Manakala baki 37,032 penerima vaksin dos pertama masih menunggu giliran untuk melengkapkan dos kedua,” katanya selepas melawat PPV Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan, Dewan Undangan Negeri Ayer Molek di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penambahan tujuh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang bermula hari ini menjadikan jumlah PPV di negeri ini sebanyak 38.

“Dengan pembukaan 38 PPV termasuk PPV awam dan hospital swasta, harapan saya Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri akan dipercepatkan.

“Sasaran kita untuk menghabiskan pemvaksinan sehingga hujung tahun ini walaupun mengikut perancangan awalnya (proses pemvaksinan berakhir) pada Februari tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post Kongres tahunan PKR pada 20 Jun
Next post Ainul Mardhiah makin aktif sejak jadi ‘Kaklong’
Ubah saiz-+=