Ainul Mardhiah makin aktif sejak jadi ‘Kaklong’

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER MOLEK 16 Jun- ‘Bidadari’ kecil yang pernah mendapat perhatian negara dua tahun lalu, Ainul Mardhiah Ahmad Saifuddin, 3, penghidap ‘Germ Cell Tumour’ kini semakin aktif sejak bergelar kakak.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 26, ketika dihubungi Melaka Hari Ini berkongsi cerita mengenai keadaan diri puterinya itu.

Katanya, Ainul menjadi semakin aktif sejak dia mendapat ‘geng’ bermain, iaitu adik lelakinya, Umar Abdurrahman, yang kini berusia setahun.

Ainul Mardhiah bersama ibu dan bapanya. Foto ihsan keluarga.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun Ainul buat pembedahan, perubahan paling ketara dia sangat aktif dan ceria, sebabnya lepas celik dari tidur kerjanya pasti bermain sehingga penat.

“Emosinya juga dah nampak normal macam kanak-kanak. Maksudnya bila dia tak dapat barang dia nak, dia menangis, kalau dia suka, dia gelak atau ketawa.

“Perkembangan Ainul ni dilihat sangat positif, kalau dah sampai masa dia untuk minum susu, bila nampak saya atau mama dia bawa botol susu, dia daripada tengah main boleh datang sendiri dekat kita nak minum susu.
“Maksudnya, dia dah ‘aware’ (sedar) waktu minum susu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Saifuddin turut berkongsi kesan komplikasi yang dilihat pada Ainul selepas pembedahan di Hospital Great Ormond Street di London, United Kingdom (UK) pada 2019 lalu.

Ujarnya, jika diperhatikan muka Ainul, akan nampak bengkak di sebelah kanan pipi akibat komplikasi pembedahan.

Ainul selepas pembedahan membuang tumor di mulut. Foto ihsan keluarga.

“Muka Ainul di sebelah kanan tidak dapat berfungsi dengan baik disebabkan saraf-saraf di muka kanan tidak dapat disambung, tapi syukurlah, Ainul tidur dapat menutup rapat kedua-dua belah mata.

“Namun begitu, jika Ainul sudah besar nanti kami akan rujuk pakar pembedahan plastik untuk membuat ‘reconstruction’ (pembinaan semula) sekiranya perlu, apa pun kesihatan anak kami itu yang diutamakan kini,” katanya.

Meskipun anak sulungnya itu dilihat semakin positif dalam tumbesaran, namun ujarnya berat badan Ainul agak lambat untuk naik.

“Cuma berat badan sahaja lambat naik, mungkin sebab dia sangat aktif. Tapi, sebagai bapa saya sentiasa optimis apabila melihat Ainul semakin bijak.

“Ainul sudah mula pandai berkomunikasi walaupun belum boleh bercakap, dia tahu dimana nak tidur, pandai tidur sendiri tanpa perlu diajar lagi,” tambahnya.

Untuk rekod, ketika Ainul berusia lapan bulan, kisahnya tular sehingga mendapat perhatian rakyat Malaysia dengan nasib menimpa Ainul.

Takdir bayi comel itu sudah tertulis apabila ibunya, Nurul Erwani Zaidi dibubungi Dr. Nur Amalina Che Bakri yang ingin membantu melakukan pembedahan buat Ainul.

Keluarga itu kemudian berlepas ke London bagi mendapatkan rawatan di sana dan pada 24 Mei 2019, Ainul selamat menjalani pembedahan.

Tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulut Ainul dikeluarkan oleh sepasukan doktor pakar di London, United Kingdom.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1539
Kongsi :
Previous post 37,873 rakyat Melaka lengkapkan dua dos vaksin COVID-19
Next post Kerja di pusat snuker waktu PKP, dua lelaki Indonesia dipenjara
Ubah saiz-+=