Sorting by

×

MELAKA SAYANG ‘WIRA MERAH’, SALUR SUMBANGAN KHAS

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

LENDU 13 Mei – Seramai 50 pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima sumbangan khas RM5,000 daripada Kerajaan Negeri sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan itu membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa menghargai sumbangan golongan pesara bomba yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan rakyat dan negeri.

Katanya, selain sumbangan tunai kepada pesara, seekor lembu korban turut disumbangkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah untuk anggota bomba yang masih berkhidmat bagi persiapan sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

“Walaupun nilai sumbangan ini tidak setanding pengorbanan mereka, namun ia adalah simbol penghargaan dan kasih sayang Kerajaan Negeri kepada anggota serta pesara bomba.

“Mereka pernah berada di barisan hadapan ketika rakyat berdepan musibah seperti kebakaran, banjir dan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Sekalung Budi Anggota dan Pesara Bomba Parlimen Masjid Tanah di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta Pengarah JBPM Melaka, Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, program itu juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara pesara dan anggota bomba yang masih aktif berkhidmat.

Katanya, pendekatan itu selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat termasuk golongan pernah berjasa kepada negeri.

“Mereka adalah ‘wira merah’ yang sentiasa menjadi harapan rakyat ketika berlakunya malapetaka.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menghargai dan mengenang jasa mereka walaupun sudah menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

156
Kongsi :
Previous post ‘KITA TIDAK CARI SALAH ORANG, KITA FOKUS PERBAIKI HIDUP RAKYAT’