
MELAKA PERLUAS INISIATIF PRODUK PELANCONGAN PERCUMA KEPADA PESARA
LENDU 13 Mei – Kerajaan Negeri akan memperluaskan inisiatif kemasukan percuma ke produk pelancongan terpilih kepada golongan pesara badan beruniform sempena sambutan hari-hari kebesaran yang digazet kerajaan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2.0.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu merupakan tanda penghargaan kepada golongan pasukan beruniform yang banyak berbakti kepada negara.
Katanya, kemasukan percuma itu disifatkan sebagai ‘hadiah’ kepada semua pesara di negeri ini yang pernah berkhidmat dalam unit beruniform seluruh negara.
“Jika sebelum ini ‘hadiah’ ini kita berikan kepada anggota dan pegawai yang masih berkhidmat, kini kita perluaskan kepada golongan pesara.
“Sebagai contoh Hari Bomba yang disambut pada 5 Mei, semua pesara bomba boleh masuk percuma ke lokasi pelancongan terpilih di negeri ini manakala ahli keluarga pesara boleh menikmati potongan harga sebanyak 50 peratus dan tempoh sebulan sehingga 5 Jun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Sekalung Budi Anggota dan Pesara Bomba Parlimen Masjid Tanah di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pendekatan itu merupakan antara manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai jasa pesara yang banyak berjasa kepada negeri dan rakyat.
“Kita harap pesara unit beruniform boleh memanfaatkan insentif ini, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

