Sorting by

×

‘KITA TIDAK CARI SALAH ORANG, KITA FOKUS PERBAIKI HIDUP RAKYAT’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

LENDU 13 Mei – Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk kekal menerajui Melaka dengan penuh rasa tanggungjawab walaupun penggal perkhidmatan bakal berakhir tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di bawah pentadbiran beliau, barisan kepimpinan yang ada tidak menumpukan kepada mencari salah orang lain, sebaliknya lebih memfokus kepada memperbaiki kehidupan rakyat.

Beliau berkata, semua barisan kepimpinan Kerajaan Negeri telah berkhidmat dengan baik dan cemerlang di bawah satu kesepakatan dan semangat setiakawan yang baik.

“Kita dipilih untuk menerajui Melaka dengan penuh rasa tanggungjawab. Maka tanggungjawab itu mesti kita sempurnakan sebaiknya.

“Kita tidak mahu mencari kesalahan orang, tetapi kita memilih untuk memperbaiki kehidupan rakyat dengan cara kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Sekalung Budi Anggota dan Pesara Bomba Parlimen Masjid Tanah di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata, setakat ini pihaknya belum memikirkan lagi soal nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

“Untuk memikirkan siapa yang ada, siapa yang tidak ada (calon) bagi saya belum masanya lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post ‘AH SEM SAYANG RAKYAT MACHAP JAYA’