Sorting by

×

‘AH SEM SAYANG RAKYAT MACHAP JAYA’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MACHAP JAYA 13 Mei – Turun padang bertemu rakyat secara konsisten menjadi antara pendekatan yang diamalkan Datuk Ngwe Hee Sem sebaik diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya.

Walaupun berdepan jadual padat sebagai Exco Kerajaan Negeri, namun ia sama sekali bukan penghalang untuk beliau mencuri masa turun ke segenap ceruk kampung bagi mendengar denyut nadi rakyat.

Jelas Hee Sem, inisiatif itu amat penting kerana ia secara tidak langsung dapat memastikan setiap isu rakyat ditangani dengan berkesan, selain selari dengan payung Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Kebiasaannya setiap kali tiada mesyuarat atau program rasmi, saya akan meluangkan masa bersama rakyat di kedai-kedai, selain turut membuka ruang kepada masyarakat hadir ke Japerun Machap Jaya bagi apa jua aduan atau permohonan. Bagi saya, penting untuk sentiasa berada dekat dengan rakyat.

“Malah, saya juga sering bermesyuarat bersama staf Japerun dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

“Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah membantu mempercepatkan tindakan terhadap isu-isu setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.

Mengulas mengenai slogan Melestari Machap Jaya yang diperkenalkan, Hee Sem berkata, ia merupakan satu manifestasi dalam memelihara keunikan kawasan luar bandar itu yang masih mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Malah, katanya, DUN Machap Jaya juga merupkan kawasan perkampungan Orang Asli terbesar di Melaka dengan tujuh Kampung Orang Asli ada, di mana, ia secara tidak langsung menyerlahkan lagi keistimewaan kawasan itu.

“Di sini, hubungan masyarakat sangat rapat kerana ‘vibe’ kampung itu masih dikekalkan. Malah, semua rakyat di sini juga sangat aktif dan mudah didekati.

“Pada masa sama, keindahan alam semulajadi yang masih menghijau juga menjadi identiti kawasan ini dan semua itu perlu dipelihara di bawah gagasan Melestari Machap Jaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post MAIM BENTUK MUSLIM BERJIWA BERSIH