380 ‘hero’ jaga keindahan Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Julai – Seramai 380 peserta terdiri daripada warga kerja pelbagai agensi kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam Program Gotong-Royong Perdana Sungai Melaka, hari ini.

Program yang dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu diadakan bermula jam 8 pagi tadi dan telah dirasmikan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Negeri Datuk Rahmad Mariman.

MBMB dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembersihan sungai itu telah dimulakan sejak 13 Julai lalu.

Ia meliputi pemotongan rumput, menyapu daun-daun kering dan kutipan sampah oleh empat pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka melibatkan pembahagian jarak kerja 2.6 kilometer bagi setiap PBT.

Bagi kerja-kerja pembersihan dan cucian laluan pejalan kaki pula telah dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Manakala kerja-kerja kutipan sampah terapung di dalam sungai dan pembersihan lumpur telah dilakukan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan dibantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka.

PELAJAR UTeM antara yang terlibat dalam Gotong-Royong Perdana Sungai Melaka. Foto: MBMB

Turut membantu kerja-kerja gotong-royong dan pembersihan kawasan adalah pelajar-pelajar daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Melaka (UNIMEL) melibatkan kiri dan kanan Sungai Melaka, bermula Pintu Air Batu Hampar sehingga Taman Rempah.

“Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

“Sama-samalah kita menjaga khazanah alam sekitar dengan memastikan kebersihan dan keindahannya sentiasa dipelihara untuk diwarisi anak cucu kita,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1496
Kongsi :
Previous post Suami buntu cari RM100,000 demi ringankan penderitaan isteri
Next post Polis tahan lelaki hina Islam di media sosial
Ubah saiz-+=