Suami buntu cari RM100,000 demi ringankan penderitaan isteri

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

ALOR GAJAH 17 Julai – Hati suami mana yang sanggup melihat isterinya terus menahan kesakitan apalagi dibayangi ajal menjemput setiap hari.

Muhammad Norkhizam Mohamed, 31, mengakui keadaan isteri, Najua Roslan, 31 yang kini menderita sakit buah pinggang kronik adalah ujian terbesar sepanjang 10 tahun perkahwinan.

Norkhizam ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) berkata, dia bersetuju untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada isteri biarpun memahami kos pemindahan organ itu boleh mencecah RM100,000.

“Saya sudah bersetuju untuk mendermakan sebelah buah pinggang untuk isteri tetapi mana saya nak cari sampai RM100,000? Bila fikirkan boleh gila saya dibuatnya.

“Anak-anak masih kecil dan perlukan kasih sayang daripada ibunya. Waktu isteri di hospital buat rawatan dialisis pun anak selalu tanya dia, bila ibu mereka nak balik.

“Kerana itu saya rela mendermakan sebelah buah pinggang demi melihat kehidupan isteri beransur normal macam dulu, lagipun doktor cakap manusia boleh hidup dengan sebelah buah pinggang,” katanya kepada Melaka Hari Ini di kediamannya di Taman Kebaya, di sini.

Norkhizam yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang automobil berkata, pendapatannya kini hanya cukup untuk membiayai keperluan keluarga dan kos rawatan mingguan isterinya di hospital.

“Dulu saya mampu buat kerja lebih masa sebab isteri sihat tetapi sekarang sayalah kena jaga anak-anak.

“Terfikir nak buat dua tiga kerja tetapi bila fikir anak, saya jadi buntu. Mungkin selepas pemindahan buah pinggang ini nanti baru boleh” katanya.

MUHAMMAD Norkhizam memimpin isterinya yang menderita sakit buah pinggang kronik.

Sementara itu, Najua turut meluahkan rasa terharu melihat pengorbanan suaminya yang sudi menghadiahkan sebelah buah pinggang kepadanya.

“Dia sangat sayangkan saya dan banyak bersabar sepanjang saya di wad walaupun banyak kali saya minta dia untuk pergi cari pengganti kerana mengganggap nyawa saya tidak panjang.

“Kadang-kadang terharu tengok suami melayan anak-anak. Kalau bukan kerana tiub dekat perut ini, saya nak dukung bayi kami,” katanya.

Menceritakan kembali, Najua memberitahu sakit buah pinggangnya semakin serius selepas dia melahirkan anak ketiga mereka, Nayla Nur Hannah pada September tahun lalu.

“Selepas melahirkan dia (Nayla) kerap sakit pinggang dan belakang. Pergi ke hospital doktor periksa air kencing berbuih, keluar protein, kaki pun bengkak malah kerap kena sesak nafas.

“Doktor kata dua-dua buah pinggang sudah rosak dan hanya pemindahan buah pinggang boleh selamatkan. Sekarang ini cuma buat dialisis sendiri di rumah sementara tunggu penderma.

“Jika tiada penderma pun, suami saya bersedia cuma kos itulah. Kami tidak mampu,” katanya.

Kepada yang berhasrat untuk membantu, sumbangan boleh dihulurkan ke akaun Maybank Muhammad Norkhizam 153083197649.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2559
Kongsi :
Previous post Jadikan Pantai Puteri destinasi pelancongan sukan air
Next post 380 ‘hero’ jaga keindahan Sungai Melaka
Ubah saiz-+=