Sorting by

×

4 ADUN DAP KINI DI BLOK PEMBANGKANG, PENGERUSI PH MELAKA KEKAL DI BLOK KERAJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, hari ini, menyaksikan berlaku perubahan dalam susun atur tempat duduk selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri.

Perubahan itu menyaksikan Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin, Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee, Adun Bandar Hilir Leng Chau Yen dan Adun Kota Laksamana Low Chee Leong kini berada di blok pembangkang.

Namun begitu, kedudukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Adun Bukit Katil Adly Zahari masih kekal di blok kerajaan, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Ia memandangkan semalam Pengerusi DAP Negeri Melaka Khoo Poay Tiong mengumumkan PH akan menarik sokongan kepada Kerajaan Negeri.

Mengikut susun atur terbaharu, Adly berada di tempat duduk paling hujung blok kerajaan dan kerusi di sebelahnya dibiarkan kosong.

Kedudukan Ketua Pembangkang Dr. Mohd Yadzil Yaakub (Bebas-Bemban); Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (PN-Rembia) juga kekal.

Namun Allex (PH-Kesidang) kini berada di baris kedua dari kiri Dewan Undangan Negeri iaitu bersebelahan dengan Muhammad Jailani, manakala di sebelahnya adalah Chee Yee (PH-Ayer Keroh).

Chee Leong (PH-Kota Laksamana) dan Chau Yen (PH-Bandar Hilir) pula berada di baris ketiga dari kiri dewan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum dalam ucapannya berharap agar kesemua ADUN dapat mengambil bahagian dalam persidangan hari ini dengan penuh disiplin, berhemah, bersopan dan mematuhi peraturan-peraturan dewan meskipun kedudukan sebahagian daripada ahli dewan telah berubah.

Semalam, PH mengumumkan keluar dari Kerajaan Negeri dan meletak jawatan sebagai Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerajaan Negeri atas faktor tidak bersetuju dengan kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bagi membolehkan pelantikan tidak lebih daripada tujuh Adun lantikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post ENAM ACARA UTAMA MERIAHKAN FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026 HUJUNG MINGGU INI