Sorting by

×

KERAJAAN NEGERI BANTU PERCEPAT PROSES PERMOHONAN PUSAT JAGAAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Beberapa langkah proaktif telah diambil Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam mengatasi kelewatan proses permohonan pusat jagaan warga emas dan kanak-kanak di Melaka.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, kebiasaannya kelewatan proses kelulusan permohonan pusat jagaan disebabkan oleh sikap pengusaha yang kurang proaktif untuk memenuhi syarat termasuk keperluan teknikal ditetapkan agensi berkaitan .

Beliau berkata, agensi utama yang terlibat dalam proses pendaftaran pusat jagaan adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Antara langkah yang dilaksanakan adalah jabatan dan agensi kini telah menggunakan Sistem Atas Talian (online) bagi memudahkan proses permohonan, semakan dan kelulusan.

“Begitu juga program advokasi dan jerayawara dilaksanakan setiap tahun bersama Persatuan Pusat Jagaan dan Taska Negeri Melaka yang mana siri seterusnya dijadualkan pada September depan.

“Pelaksanaan ini diadakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pendaftaran premis,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Kalsom, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri juga turut memberi khidmat konsulatasi berterusan mengenai syarat, tatacara dan keperluan undang-undang agar permohonan pengendali lengkap lebih awal.

“Selain itu juga pengendali dan pengusaha pusat jagaan serta taska juga perlu memanfaatkan hari bertemu rakyat sempena program Wakil Rakyat WRUR Dewan (WRUR) dan Program HEBAT yang diadakan bagi mendapat akses langsung kepada agensi teknikal berkaitan untuk mendapat maklumat.

“Pengusaha digesa untuk lebih bertanggujwab dan memanfaatkan ekosistem sokongan kerajaan bagi proses pendaftaran pusat jagaan,” katanya.

Jelas beliau, sehingga Mei 2026 mengikut data JKM sebanyak 142 pusat jagaan direkodkan berdaftar membabitkan 110 daripadanya di daerah Melaka Tengah, diikuti Alor Gajah (17) dan Jasin (15).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post 4 ADUN DAP KINI DI BLOK PEMBANGKANG, PENGERUSI PH MELAKA KEKAL DI BLOK KERAJAAN