DUN Ayer Limau: 400 murid, pelajar terima agihan zakat

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER LIMAU 30 September – Seramai 400 murid dan pelajar sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau menerima sumbangan wang zakat asnaf daripada Bank Rakyat berjumlah RM40,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau , Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setiap pelajar dan murid berkenaan menerima zakat berjumlah RM100 setiap seorang.

Katanya, program itu adalah hasil kerjasama dengan pihak Bank Rakyat bagi melancarkan lagi urusan menghagihkan wang zakat kepada murid dan pelajar dalam kalangan asnaf.

“Saya amat berharap penerima zakat menggunakan wang berkenaan untuk tujuan berfaedah seperti menampung perbelanjaan pendidikan. Ibu bapa atau penjaga perlu bijak menguruskan wang berkenaan agar ia memberi faedah serta manfaat untuk masa depan anak-anak kita.

“Berhubung agihan pula ia bergantung kepada jumlah pelajar atau murid, jika ramai maka jumlah diterima lebih tinggi, namun semua sekolah menerima agihan sama rata iaitu RM100 seorang. Sebenarnya sekolah di DUN lain juga menerima agihan zakat ini, namun bagi Ayer Limau kita laksanakan secara berkelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Wang Zakat Asnaf Bank Rakyat DUN Ayer Limau di Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama Guru Besar SK Ramuan China Besar, Talib Ludin, wakil Bank Rakyat Cawangan Masjid Tanah, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ramuan China Besar serta SK Ramuan China Kecil.

Hameed berkata, selain itu sumbangan zakat daripada syarikat kewangan itu juga turut diagihkan kepada masjid dan surau di DUN Ayer Limau yang menggunakan akaun Bank Rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2594
Kongsi :
Previous post Kiosk automatik bantu imarahkan masjid
Next post Ahli perniagaan dilarikan Vellfire putih dipercayai kerana hutang
Ubah saiz-+=