Kepulangan Idris ke Asahan ‘disambut’ cabaran enam penjuru

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 8 Nov – Bagai sirih pulang ke gagang, itu perumpamaan buat bekas ketua menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang bertanding di tempat asalnya di DUN Asahan, kali ini di bawah tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Namun kepulangannya itu ‘disambut’ dengan saingan enam penjuru daripada calon Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam Roslan, Danesh Basil (Perikatan Nasional), Mohd Noor Salleh (Bebas), Azmar Abdul Hamid (Bebas) dan Mohd Akhir Ayob (Bebas).

“Dengan pelbagai calon iaitu tiga dari calon parti dan tiga calon bebas, ia adalah satu tanda demokrasi sedang mekar,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Asahan di Kolej Komuniti Selandar di sini, hari ini.

Ditanya mengenai janjinya kepada pengundi, Idris berkata beliau menyasarkan untuk menjadikan Asahan sebagai hub pertanian, di negeri Hang Tuah itu.

“Walaupun dianggap sebagai kawasan luar bandar, Saya lihat tanah di sini sangat subur dan ia sangat sesuai untuk dibangunkan secara progresif.

“Asahan mampu juga menjadi kawasan pelancongan baharu dan hub pertanian di Melaka kelak, itu yang saya ingin lakukan,” katanya.

IDRIS Haron

Sementara itu calon BN Fairul Nizam Roslan berkata dengan pertembungan enam penjuru ini, beliau mengharapkan sokongan masyarakat setempat terhadapnya, agar agenda memperkasakan Asahan termasuk aspek pendidikan dapat diteruskan.

Beliau yang mula berkecimpung dalam arena politk sejak berumur 14 tahun berkata pengundi di Asahan sudah matang dan faham, malah tahu parti mana yang mampu membela nasib mereka serta mempunyai hala tuju yang jelas.

Fairul Nizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Melaka berkata pendidikan menjadi tunjang utama dalam pembangunan sesebuah bangsa, dan beliau mahu memberi ruang dan peluang pendidikan yang terbaik untuk anak tempatan.

“’Saya akan teruskan (kerja-kerja) kebajikan yang ADUN yang lepas lakukan, kerana saya percaya wakil rakyat ini kena selalu santuni rakyat. Jadi, kebajikan dan pendidikan dan beberapa yang lain yang besar, yang ada permintaan rakyat akan kita ketengahkan,” katanya.– BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

746
Kongsi :
Previous post Satu lagi laporan polis diterima, menjadikan tiga keseluruhannya
Next post SPRM lancar bilik gerakan PRN Melaka
Ubah saiz-+=