Majlis tahlil pertemukan dua calon Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER LIMAU 12 Nov – Majlis tahlil mingguan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Cina hari ini secara kebetulan mempertemukan dua calon Ayer Limau.

Hameed Mytheen Kunju Basheer dari Barisan Nasional (BN) bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Nordina Abdul Latif di lokasi berkenaan dalam majlis dianjurkan anak kariah kampung berkenaan.

Hameed terlebih dahulu tiba di pondok berkenaan pada jam 9 pagi sebelum diikuti Dr Nordina kira-kira 10 minit kemudian sebelum sama-sama menyertai 40 anak kariah membaca surah Yasin dan bertahlil.

Hameed (kiri) bersama Dr Nordina menikmati juadah pada majlis tahlil di Tanah Perkuburan Islam Lubok Cina. Foto Din Ahmad

Ketika ditemui selepas majlis itu, Hameed berkata, dia tidak tahu Dr Nordina akan hadir pada majlis itu dan berterima kasih kepada anak kariah yang sudi menerima kehadiran mereka.

Hameed adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan bekas guru pendidikan jasmani di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah.

Sementara itu Dr Nordina berkata, dia hadir pada majlis itu selepas menikmati sarapan bersama-sama anggota komuniti Kampung Sungai Jerneh pada jam 7.30 pagi.

“Saya pun tidak sangka calon BN ada di sini dan peluang itu kami ambil untuk bertanya khabar dan memperkenalkan diri kepada anak kariah.

“Alhamdulillah, sebelum ini kami tidak pernah berjumpa dan kali ini kami benar-benar bersua dan sama-sama menawarkan diri kepada pengundi untuk menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.

Dr Nordina berkata, dia meletak jawatan sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan (KK) Lubok Cina baru-baru ini selepas bertugas di klinik itu sejak 2007.

“Saya tinggalkan kerjaya sebagai doktor semata-mata kerana ingin memberikan perkhidmatan sebagai wakil rakyat untuk anggota komuniti dan berharap kehadiran saya diterima masyarakat,” katanya.

Beliau menjadi ahli Bersatu sejak 2019 dan menganggotai Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) sejak April lalu bagi membantu menangani pandemik COVID-19.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PTU14), kerusi berkenaan dimenangi Datuk Amiruddin Yusof dari BN dengan majoriti undi 1,479.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post Sg Udang: Cikgu Ali janji majukan perumahan anggota tentera
Next post Telok Mas: Razak janji masjid, balai raya nikmati akses Wifi percuma
Ubah saiz-+=