
475 GRADUAN BAKAL DIRAI DALAM KONVOKESYEN POLITEKNIK MELAKA KE-22
BANDARAYA MELAKA 29 Julai – Seramai 475 graduan bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka ke-22 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), 2 Ogos ini.
Politeknik Melaka menerusi satu kenyataan memaklumkan konvokesyen tersebut akan berlangsung dalam dua sidang iaitu pada sesi pagi bermula jam 8.30 pagi dan sesi petang yang bermula pada jam 2 petang.
Kenyataan turut memaklumkan, majlis itu meraikan graduan lima program pengajian utama iaitu Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan), Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Perniagaan Antarabangsa dan Diploma Perakaunan.
“Penganjuran konvokesyen kali ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan yang telah dilahirkan oleh Politeknik Melaka sejak tahun 2000 mencecah 11,135 orang.
“Majlis turut menyaksikan penyampaian empat kategori anugerah kecemerlangan bagi menghargai pencapaian luar biasa para graduan.
“Antara anugerah yang diberikan ialah Anugerah Pengarah selaku pengiktirafan tertinggi institusi, selain Anugerah Khas, Anugerah Projek Terbaik serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum,” kata kenyataan itu.
Majlis konvokesyen itu bukan sahaja meraikan pencapaian akademik, malah mencerminkan komitmen Politeknik Melaka dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan.
Dua perasmi akan menyempurnakan majlis terbabit iaitu pada sesi pertama perasminya Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah menjadi perasmi pada sesi petang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.