Sorting by

×

476 KELUARGA ASNAF TELOK MAS TERIMA SUMBANGAN RAMADAN, SYAWAL

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TELOK MAS 3 Februari – Seramai 476 keluarga asnaf fakir dan miskin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menerima bantuan kewangan sempena Ramadan dan Syawal hasil sumbangan zakat dan pembayaran fidyah yang diterima Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu seramai dua orang penerima terdiri daripada kategori asnaf fakir, manakala 474 lagi dalam kategori asnaf miskin.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri memaklumkan, menerusi Bantuan Ramadan, asnaf fakir bakal menerima RM400 bagi setiap ketua isi rumah, manakala asnaf miskin menerima RM300 setiap ketua isi rumah dan setiap tanggungan turut menerima RM100, membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM382,000.

Manakala, bagi Bantuan Syawal pula, setiap asnaf menerima RM150 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM71,400.

“Diharap pemberian bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kewangan keluarga penerima dan memberi manfaat sepanjang menjalani ibadah puasa dan menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah) Serta Pengagihan Fidyah Kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM DUN Telok Mas Bagi Tahun 2026/1447H di Dewan Komuniti KEMAS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Pegawai Agihan Zakat Daerah Melaka Tengah Nadirah Ismail serta kenamaan lain.

Menurut Abdul Razak, selain Bantuan Ramadan dan Syawal, penerima asnaf juga turut menerima sumbangan Fidyah berjumlah RM150.

Beliau bagaimanapun mengingatkan penerima untuk tidak membelanjakan wang fidyah berjumlah RM150 untuk membeli barangan lain selain daripada keperluan makanan sahaja.

“Pemberian sumbangan fidyah ini tidak boleh dibelanjakan selain daripada tujuan makan kerana fidyah hanya ditentukan untuk memberi makan kepada fakir dan miskin sahaja.

“Jumlah peruntukan bantuan fidyah yang akan diagihkan kepada asnaf DUN Telok Mas membabitkan sejumlah RM71,400,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post PEKERJA KILANG MAUT SELEPAS HANTAR ISTERI KE TEMPAT KERJA
Next post KEBAKARAN TERBUKA DI MELAKA MELONJAK LIMA KALI GANDA