490 penjawat awam Melaka terima pengiktirafan MAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 20 Mac – Seramai 490 kakitangan kerajaan negeri yang berprestasi tinggi ketika berkhidmat diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu seramai 437 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 11 penerima Pingat Jasa Cemerlang dan 42 penerima Anugerah Khas Perkhidmatan.

Katanya, majlis tersebut merupakan wadah apresiasi buat penjawat awam yang menampilkan komitmen tinggi meskipun ketika keadaan negara bergelut pandemik COVID-19.

“MAPAN tahun ini bertemakan Mutu Perkhidmatan Diteladani, Membangun Malaysia Madani seiring dengan ekspetasi pentadbiran negeri ini yang menekankan integriti, kredibiliti, tata kelola yang cekap dan profesionalisme yang tinggi.

“Penjawat awam perlu terus istiqamah dalam melakukan islah demi pembaharuan dan kualiti perkhidmatan awam Negeri Melaka yang cemerlang waima apa jua gugatan yang menghalang di hadapan.

“Mutu perkhidmatan yang cemerlang oleh penjawat awam menjadi kayu ukur kepada sebuah kerajaan yang utuh dan melaluinya, Kerajaan Negeri dapat memberikan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri Melaka (MAPAN) Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata penerima anugerah wajar menjadi ikutan kepada semua penjawat awam lain.

“Semua penerima anugerah yang diraikan hari ini wajar menjadi ‘tamsilan’ atau role model kepada kakitangan yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1916
Kongsi :
Previous post Tiada keperluan rombak Exco – KM
Next post MiCoST bantu anak B40 lanjut pelajaran secara percuma
Ubah saiz-+=