5 negara terpilih mula tanggungjawab anggota majlis keselamatan PBB

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

NEW YORK, 5 Jan – Albania, Brazil, Gabon, Ghana dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa memulakan tanggungjawab mereka sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan, lapor Xinhua.

Penggal dua tahun mereka secara rasmi bermula pada 1 Jan. Upacara memasang bendera telah diadakan bagi menandakan bermulanya tugas mereka.

Duta Kazakhstan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatiu (PBB) Magzhan Ilyassov, yang mempengerusikan majlis itu, mengucapkan tahniah kepada lima ahli majlis baharu itu dan mendoakan kejayaan mereka dalam merealisasikan keutamaan mereka dalam penggal dua tahun itu.

Upacara pemasangan bendera untuk anggota Majlis Keselamatan baharu dimulakan oleh Kazakhstan.

“Kami percaya bahawa 2022 adalah tahun harapan untuk kita semua dan organisasi dunia kita,” kata Ilyassov.

“Keamanan global, keselamatan dan pembangunan lestari seterusnya akan bergantung pada keputusan Majlis Keselamatan, sistem PBB dan rakan kongsi rapat kami yang lain.”

Duta Besar Norway ke PBB Mona Juul, dalam kapasitinya sebagai presiden Majlis Keselamatan untuk Januari, mengalu-alukan anggota baharu itu.

Wakil tetap lima ahli majlis baharu itu membuat ucapan ringkas sebelum mereka memasang bendera negara masing-masing di luar Dewan Keselamatan.

Lima negara itu menggantikan Estonia, Niger, Saint Vincent dan Grenadines, Tunisia, dan Vietnam.

Majlis Keselamatan 15 anggota terdiri daripada lima anggota tetap — Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat, dan 10 ahli tidak tetap yang dipilih untuk penggal dua tahun oleh Perhimpunan Agung PBB. Lima ahli tidak tetap diganti setiap tahun.

India, Ireland, Kenya, Mexico dan Norway berada di pertengahan tempoh dua tahun mereka sebagai ahli tidak tetap.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Banjir: Pembuka tirai tahun baharu
Next post Zaidi dilantik SUK Melaka yang baharu
Ubah saiz-+=