Sorting by

×

500 ANAK HANG TUAH JAYA KEMBALI KE SEKOLAH DENGAN ‘SEMANGAT’ BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 26 Januari – Riak wajah ceria jelas kelihatan di wajah 500 penerima sumbangan Program Kembali Ke Sekolah 2025 Parlimen Hang Tuah Jaya apabila menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dan baucar.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata, program anjuran bersama pasaraya Mydin itu adalah antara komitmen pihaknya dalam memastikan pelajar di kawasan itu dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia dan yakin.

Katanya, seperti kebiasaan apabila akan bermulanya sesi persekolahan baru, tumpuan akan diberikan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan.

“Untuk sesi bantuan kali ini jumlah penerima ada pertambahan apabila seramai 500 murid dan pelajar dari Parlimen Hang Tuah Jaya dipilih berbanding hanya 300 pada tahun lalu.

“Selain set alat tulis dan beg sekolah, pelajar serta murid ini turut menerima baucar tunai daripada Mydin bernilai RM100 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Kembali Ke Sekolah 2025 Parlimen Hang Tuah Jaya yang turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, di Pasaraya Mydin, di sini, hari ini.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, dalam memastikan tiada pelajar kurang berkemampuan di Parlimen itu tercicir, pihaknya sentiasa menambah baik perkhidmatan khususnya dalam aspek sumbangan persekolahan.

“Kami percaya pendidikan adalah kunci kepada masa hadapan yang cerah justeru itu di pihak Pusat Khidmat Rakyat kami sentiasa komited untuk tampil membantu golongan memerlukan.

“Menerusi sumbangan diberikan dengan kerjasama Mydin ini ia diharap dapat memberi semangat untuk anak-anak kembali semula ke sekolah sekali gus meringankan beban ketua keluarga,” katanya.

Adam Adli, pihaknya juga amat berharap agar lebih banyak syarikat atau pihak berkaitan tampil untuk sama-sama membantu menghulur sumbangan kepada masyarakat dalam aspek pendidikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post MELAKA BILA LARUT MALAM: TARIAN SINGA DI MENARA TAMING SARI
Next post BAUCAR RM15 DI SAMBUTAN TAHUN BARU CINA MELAKA, 8 FEBRUARI INI