55 jemaah umrah Malaysia positif COVID-19, kuarantin di Mekah

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MELAKA 31 Dis – Seramai 55 jemaah umrah Malaysia dikesan positif COVID-19 sejak Isnin lalu dan menjalani kuarantin di Mekah, Arab Saudi.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata, jemaah terbabit berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan simptom COVID-19 yang teruk selain masing-masing ditempatkan di bilik hotel berasingan.

Katanya, pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari selain menghantar ubat-ubatan.

“Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya seperti laporan Selangorkini.

Dalam pada itu, Wisma Putra ketika dihubungi portal berkenaan memaklumkan pihaknya berhubung rapat dengan jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi dalam kenyataan berkata pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi untuk menyantuni jemaah sejak hari pertama menjalani kuarantin.

“Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkiatan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR,” katanya.

Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi tersenarai dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron.

Jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Sabtu lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan sebanyak 62 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 30 daripadanya membabitkan jemaah umrah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

880
Kongsi :
Previous post Exco serbu kilang ingkar arahan tutup
Next post Op Gegar: 35 individu ditahan di pusat hiburan
Ubah saiz-+=