
70,000 DIJANGKA ‘BANJIRI’ KLEBANG SEMPENA HARI KEBANGSAAN
KLEBANG 28 Ogos – Dianggarkan 50,000 hingga 70,000 pengunjung bakal membanjiri Dataran Klebang pada 31 Ogos ini bagi menyaksikan Perbarisan dan Perarakan Kontinjen sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Norena Jaafar berkata, persiapan bagi sambutan berkenaan kini berjalan lancar termasuk pelaksanaan pra-raptai bagi memastikan keseluruhan pengisian berlangsung mengikut atur cara dan masa ditetapkan.
Katanya, aspek pengurusan trafik, aliran pergerakan pengunjung serta keselamatan turut diberi perhatian bagi menghadapi jumlah kehadiran yang tinggi pada hari sambutan.
“Setakat ini alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Kalau kita lihat, kawasan ini sudah mula dipenuhi orang dan pagi ini dianggarkan kira-kira 5,000 orang.
“Bagi raptai penuh esok, kita akan melihat keadaan trafik dan aliran pergerakan orang ramai sebelum sebarang penambahbaikan dibuat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran Klebang, di sini, hari ini.
Norena berkata, kawalan trafik akan dilaksanakan secara berperingkat bermula jam 7 pagi bagi memberi laluan kepada raptai penuh dan pergerakan kontinjen pada hari perbarisan.
Katanya, beberapa laluan akan ditutup sepenuhnya pada waktu tertentu bagi memastikan kelancaran perbarisan, selain mengambil kira aspek keselamatan dan keperluan kenderaan kecemasan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 10 lokasi parkir kenderaan disediakan untuk kemudahan orang ramai, selain 10 bas dan 30 van shuttle bagi membawa pengunjung dari kawasan parkir ke lokasi acara.
Norena berkata, perkhidmatan shuttle berkenaan akan beroperasi dari lokasi parkir ke kawasan berhampiran Restoran Melantak dengan kekerapan sekitar lima minit, bergantung kepada keadaan trafik.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan hadir seawal mungkin bagi mengelakkan kesesakan susulan jumlah pengunjung yang dijangka tinggi.
Katanya, kerjasama pengunjung dengan mematuhi arahan petugas dan menggunakan kemudahan parkir serta perkhidmatan shuttle yang disediakan penting bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan berlangsung lancar dan selamat.
Tambah beliau, ketika ini persiapan dari aspek fizikal, persembahan dan keperluan teknikal juga berada pada tahap baik dan bersedia untuk menyambut orang ramai pada 31 Ogos ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

