KING KING PULANG KE ‘RUMAH’ DI ZOO MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Selepas lebih dua tahun ‘merantau’ Harimau Malaya jantan, King King akhirnya kembali ke ‘rumahnya’ di Zoo Melaka.

King King yang tiba di perkarangan Zoo Melaka kira-kira jam 11.45 malam, 12 Ogos lalu, dihantar pulang dalam satu pergerakan ‘translocation’ sebagai usaha pembiakan Harimau Malaya tahun ini di negeri ini.

Harimau Malaya yang mempunyai berat 171 kilogram dan berusia kira-kira 18 tahun itu dipindahkan dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak ke Zoo Melaka menerusi pergerakan yang diatur Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Pegawai Sains Zoo Melaka Muhammad Rafiq Jasmi berkata, King King sebelum ini berada di Zoo Negara selama lebih dua tahun sebagai sebahagian daripada pergerakan pembiakan yang diatur bagi tujuan pengurusan , pembiakan dan konservasi spesies tersebut.

“Kepulangannya kali ini bagaimanapun membawa misi lebih besar apabila King King bakal dipadankan dengan Pia, harimau Malaya betina yang berasal dari Zoo Negara.

“King King berasal dari Zoo Melaka dan King King kembali pulang ke rumah dia selepas meluangkan masa di Zoo Negara selama dua tahun lebih,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rafiq jasmi berkata, pergerakan hidupan liar terbabit bukan dibuat secara sewenang-wenangnya sebaliknya disusun rapi oleh PERHILITAN berdasarkan keperluan program pembiakan dan kesesuaian pasangan.

Katanya, pergerakan King King dan harimau malaya lain juga dibuat secara berperingkat, termasuk pertukaran jantan dan betina mengikut perancangan pembiakan yang ditetapkan.

“Hasratnya satu iaitu kita nak sokong program pembiakan Harimau Malaya untuk kita tambah populasi Harimau Malaya dalam kurungan atau pembiakan dalam kurungan (MYBIT) sebagai insurance population,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post 70,000 DIJANGKA ‘BANJIRI’ KLEBANG SEMPENA HARI KEBANGSAAN