701 kampung tradisional Melaka ‘didigitalkan’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 2 Disember – Inisiatif Kampung Digital diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), 18 April lalu menjadi permulaan dalam usaha Kerajaan Negeri memodenkan 701 kampung tradisional seluruh Melaka.

Ketua Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri, (Bahagian Teknologi Maklumat Dan Komunikasi) Fauzi Elham@Alhim berkata, pelaksanaan itu memberikan penekanan kepada enam intipati iaitu memberikan semula alamat baharu rumah kepada penduduk kampung tradisional, pewujudan pemilikan alamat di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, penetapan kaedah alamat rumah, pembangunan sistem Kampung Digital, penglibatan kesemua 701 kampung tradisional dan pelaksanaan standard alamat rumah SIRIM (MS2039:2016).

Whatsapp Image 2023 12 01 At 7.59.53 Pm
FAUZI

Fauzi berkata, inisiatif itu amat bermanfaat kerana sasarannya adalah mewujudkan Kampung Digital dengan penduduk mempunyai alamat berstruktur, sistem pengurusan alamat yang lebih sistematik, dokumentasi yang lengkap, meningkatkan kecekapan pengesanan alamat serta mengesan pencerobohan tanah kerajaan.

“Pelaksanaan Kampung Digital yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf tercetus kerana timbulnya isu yang dialami rata-rata penduduk di Negeri Melaka.

“Antara permasalahan kerap timbul adalah alamat yang sedia ada kini tidak konsisten atau seragam, tiada agensi penyelaras, menggunakan alamat pukal dan ada yang meminjam alamat premis atau kediaman penduduk lain,” katanya.

Menurut Fauzi, kesemua kampung tradisional akan melalui pelbagai proses dalam pelaksanaannya, sekali gus mewujudkan ekosistem digital seperti yang dirancang.

“Kampung Digital ini boleh dijadikan alat untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan selain inisiatif ini boleh dikembangkan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Pelaksanaan Kampung digital ini akan membabitkan 226 kampung tradisional dalam daerah Alor Gajah; 245 kampung tradisional dalam daerah Melaka Tengah dan 240 kampung tradisional dalam daerah Jasin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1958
Kongsi :
Previous post Masjid baharu, naik taraf kemudahan DUN Taboh Naning
Next post Remaja cabul murid darjah 5 ditahan
Ubah saiz-+=