
729 PESERTA, SATU MISI HIJAUKAN ZOO MELAKA
AYER KEROH 21 Oktober – Seramai 729 peserta daripada 30 agensi kerajaan dan 15 syarikat swasta berganding bahu menceriakan persekitaran Zoo Melaka menerusi Program Zoo Clean and Green Day, sekali gus menyemarakkan kerjasama dalam memelihara kelestarian alam sekitar.
Pengarah Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) itu merangkumi aktiviti mengecat, menanam pokok dan membersihkan kawasan zoo bagi mewujudkan persekitaran lebih ceria serta menarik kepada pengunjung.
Menurutnya, penyertaan menggalakkan daripada pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama dalam membantu menambah baik persekitaran Zoo Melaka.
“Seronok melihat begitu banyak agensi memberikan sokongan. Malah, ada pihak yang berminat untuk turut serta, namun jumlah peserta perlu dihadkan bagi memastikan aktiviti dapat dipantau dan dilaksanakan dengan selamat.
“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, termasuk membuka peluang kepada agensi dan syarikat lain untuk turut membantu menerusi aktiviti yang dirancang bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Zoo Clean and Green Day yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Zoo Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azeem Mamat dan Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Dr. Zahidah Izzati berkata, program bersempena Hari Alam Sekitar itu turut memberi peluang kepada peserta, khususnya mereka yang bekerja di pejabat, melakukan aktiviti luar dalam suasana berbeza.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menyumbang kepada penjagaan alam sekitar, malah berpotensi membantu menyegarkan minda dan menyokong kesejahteraan mental.
“Antara aktiviti dilaksanakan termasuk mengecat, menanam pokok dan membersihkan kawasan mengikut lokasi yang ditetapkan bagi memastikan setiap tugasan dapat dilakukan secara teratur serta selamat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

