
BAHASA KEBANGSAAN LAMBANG BANGSA MERDEKA
AYER KEROH 21 Oktober – Bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya lambang kemerdekaan, jati diri dan maruah bangsa yang perlu dipertahankan serta dimartabatkan oleh seluruh rakyat.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan kemajuan perlu dikikis kerana pemikiran sedemikian mencerminkan sisi yang kita masih dijajah.
Menurut Dr. Hazami, kemerdekaan sebenar bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajahan kuasa asing, tetapi turut merangkumi keupayaan rakyat menghargai dan mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai sebahagian daripada warisan negara.
“Bahasa itu jiwa kepada bangsa kita. Bangsa yang merdeka ialah bangsa yang ada bahasanya. Apabila ada sisa-sisa perasaan mengatakan bahasa kita tidak mampu atau tidak upaya, itu adalah sisa-sisa kepada rasa terjajah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Selatan serta Penutupan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Melaka Datuk Maslina Baki selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, hari ini.
Dr. Hazami berkata, sambutan tersebut bukan sekadar meraikan perjalanan tujuh dekad DBP, malah menjadi wadah memperkukuh kecintaan masyarakat pelbagai lapisan terhadap bahasa kebangsaan.
Katanya, usaha memartabatkan bahasa Melayu memerlukan komitmen semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan sektor perkhidmatan awam, bagi memastikan dasar bahasa kebangsaan terus dilaksanakan dengan berkesan.
“Antara tujuan sambutan ini adalah untuk meningkatkan rasa kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, selain menegaskan tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama kerajaan, khususnya DBP, melaksanakan dasar bahasa kebangsaan.
“Terutamanya dalam kalangan perkhidmatan awam, semua urusan rasmi perlu menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman negara lain seperti China dan Rusia turut menunjukkan bahawa penggunaan bahasa sendiri tidak menghalang sesebuah bangsa daripada mencapai kemajuan dan membina tamadun.
Sehubungan itu, sambutan ulang tahun ke-70 DBP diharap dapat menyemarakkan kembali tekad masyarakat untuk menggunakan, menghargai dan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta lambang identiti negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

