MELAKA HARI INI TERIMA ANUGERAH CITRA BAHASA 2026 DBP

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Komitmen Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu mendapat pengiktirafan menerusi penganugerahan Anugerah Citra Bahasa (Institusi) 2026 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pengiktirafan itu diberikan kepada MHI selepas dinilai memenuhi kriteria sebagai institusi yang komited menggunakan bahasa Melayu secara konsisten menerusi pelbagai program kebahasaan yang berkualiti, berimpak dan berterusan dalam pemberitaan kepada masyarakat.

Anugerah berkenaan mengiktiraf usaha MHI sebagai organisasi media yang bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah turut memikul tanggungjawab memelihara mutu penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan berita dan kandungan media.

Anugerah tersebut diterima Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Selatan serta Penutupan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 di Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, di sini, hari ini.

Sijil dan trofi anugerah itu disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Melaka Datuk Maslina Baki selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Hazami Jahari; Pengarah Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ts. Dr. Ruziah Ali serta lain-lain kenamaan.

Majlis tersebut dimulakan dengan Bicara Restu Jiwa Pahlawan yang menampilkan dua pembicara iaitu Dr. Hashim Ismail dan Dr. Raja Mashittah Raja Ariffin dengan dikendalikan moderator oleh Ahmad Zauawi Che Cob.

Bicara itu membawakan kisah tokoh-tokoh yang telah memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan teater ‘Jiwa Pahlawan Bahasa’ daripada pelajar seni teater Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post ‘TIADA LAGI TIDUR-TIDUR AYAM, RISAU RUMAH ROBOH DIBADAI RIBUT’