‘TIADA LAGI TIDUR-TIDUR AYAM, RISAU RUMAH ROBOH DIBADAI RIBUT’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 21 Oktober – Hasil daripada kemajuan dan kepesatan ekonomi Melaka dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk menggantikan kediaman daif serta uzur kepada yang baharu agar golongan kurang mampu dapat berteduh di rumah lebih selesa.

Rapiah Wahab, 65, antara penerima manfaat hasil keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Warga emas ini berkata, rumah pusaka berusia 40 tahun didiami sebelum ini amat daif dengan struktur kayu banyak yang sudah rosak akibat serangan anai-anai dan dianggap tidak lagi selamat untuk dihuni.

“Jika berlaku ribut atau hujan lebat pada waktu malam saya terpaksa tidur-tidur ayam kerana risau rumah roboh. Paling teruk terjejas akibat serangan anai-anai adalah bahagian hadapan, kalau tolak pun memang akan roboh.

“Meskipun perlu menunggu saya faham, ramai lagi orang lain yang memohon bantuan. Alhamdulillah, berkat kesabaran akhirnya saya memiliki kediaman baharu yang lebih selesa dan selamat, memang tidak pernah terfikir keadaan rumah berubah sepenuhnya,” katanya.

6248979250643932102
RAPIAH ceria ketika menerima kunjungan Kalsom di rumah baharunya di Kampung Peringgit. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Nenek kepada dua cucu itu ditemui selepas menerima kunjungan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin di rumahnya di Kampung Peringgit.

Rapiah berkata, kerja-kerja pembinaan kediaman baharu itu siap sepenuhnya pada Jun lalu dan dia kini bersama dua cucu masing-masing berusia 17 serta 19 tahun menikmati kehidupan harian lebih sempurna.

“Kalau bukan disebabkan Datuk Kalsom dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tampil membantu, mungkin saya masih mendiami rumah yang daif.

“Hanya ucapan terima kasih tidak terhingga mampu diluahkan, jasa mereka amat besar untuk mereka kerana ia bukan sekadar menyediakan rumah baharu tetapi memberikan kelegaan selepas sekian lama berdepan kebimbangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post MAIM SUMBANG MESIN RUMPUT BANTU ASNAF SARA KELUARGA