MAIM SUMBANG MESIN RUMPUT BANTU ASNAF SARA KELUARGA

Masa Membaca:54 Saat

PENGKALAN BATU 21 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus prihatin dengan nasib asnaf apabila bukan sahaja membantu dalam sudut bantuan bulanan, bahkan dalam sudut peralatan.

Terbaharu, MAIM telah menyumbangkan peralatan mesin rumput bagi membantu seorang asnaf meneruskan pekerjaan mengambil upah membersihkan kawasan, sekali gus menjana pendapatan bagi menyara kehidupan keluarganya.

MAIM menerusi satu kenyataan memaklumkan, sumbangan kepada Zukkefly Nor Hassan itu merupakan antara usaha membantu golongan asnaf mendapatkan kemudahan yang boleh dimanfaatkan untuk meneruskan pekerjaan dan meningkatkan sumber pendapatan.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu penerima menyara kehidupan keluarga dengan sumber rezeki halal,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, sumbangan itu telah disampaikan Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Zuraini Bibi Mohammed Yusoff bersama Ketua Unit Usahawan Asnaf, Mohd Nazri Abd Rahim.

Sementara itu, penerima sumbangan turut mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada MAIM yang sangat membantunya meneruskan kehidupan dengan mengambil upah mesin rumput membersihkan kawasan persekitaran.

Usaha itu mencerminkan pendekatan bantuan yang bukan sahaja memenuhi keperluan golongan asnaf, malah turut menyokong keupayaan mereka meneruskan pekerjaan dan berdikari dalam meningkatkan taraf kehidupan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

229
Kongsi :
Previous post PENJAGA ARTIFAK, WARISAN MELAKA JUGA PERLU SIHAT DAN CERGAS