8 lokaliti aktif wabak denggi di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 10 Feb. – Terdapat lapan lokaliti aktif wabak denggi direkodkan di Melaka setakat semalam, kesemuanya membabitkan daerah Melaka Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, lapan kawasan itu ialah di Pangsapuri Tasik Utama, Flat Sri Temenggong, Taman Kenanga Seksyen 2, Kampung Pulau Samak, Kampung Paya Ikan, Taman Kenanga Seksyen 3, Jalan Sekolah Limbongan dan Taman Kenanga Seksyen 1.

Beliau berkata, meskipun lokaliti wabak menunjukkan peningkatan dalam tempoh beberapa minggu, namun jumlah kes denggi di negeri ini menurun 45.59 peratus atau 142 kes keseluruhan berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Melaka Tengah masih daerah tertinggi mencatatkan kes denggi iaitu 113 kes setakat semalam. Bagaimanapun, jumlah itu menurun 38.59 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daerah Alor Gajah dan Jasin pula menunjukkan penurunan ketara apabila masing-masing hanya merekodkan 20 dan sembilan kes sahaja secara kumulatif setakat ini sekali gus menunjukkan penurunan 50 dan 75.98 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, sepanjang tempoh sama juga tiada kes kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini.

“Ia berbeza berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan dua kematian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau dan memeriksa premis di sekitar negeri ini bagi memastikan kebersihan kawasan dijaga rapi sekali gus dapat mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

“Setakat ini 11,665 buah premis telah diperiksa dengan 490 (4.2 peratus) daripadanya adalah kawasan positif pembiakan Aedes. Selain itu kita juga mengeluarkan 169 kompaun di bawah Akta Serangga Pembawa Penyakit bagi premis yang didapati menjadi penyebab pembiakan Aedes.

“Kita berharap Kempen 1 Jam Setiap Sabtu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang lancarkan terus menjadi amalan masyarakat,” katanya.

Views:

407
Kongsi :
Previous post Farid Kamil, Boy Iman bukan lagi ‘Datuk’
Next post Longgar syarat pengambilan pekerja asing untuk pulihkan sektor pembinaan-PKMM
Ubah saiz-+=