Longgar syarat pengambilan pekerja asing untuk pulihkan sektor pembinaan-PKMM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 10 Feb – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Melaka menyarankan kerajaan mengkaji semula beberapa perkara termasuk isu kekurangan pekerja asing bagi membolehkan sektor pembinaan ‘bernafas’ semula ekoran terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Yang Dipertuanya, Datuk Tajudin Husin berkata, pihaknya berdepan penguncupan dari segi keuntungan dan penyediaan projek sehingga 40 peratus akibat pandemik itu.

Katanya, ia berikutan kebanyakan kontraktor berdepan masalah pengambilan pekerja asing yang semakin berkurangan, selain perlu menanggung kos ujian calitan COVID-19 yang sebelum ini tidak termaktub dalam kontrak pengambilan pekerja.

Setiausaha PKMM, Asmuni Sajat.

“Oleh itu pihak kontraktor memohon kerajaan mengkaji semula kemasukan pekerja asing serta memberi kelonggaran kepada kontraktor gred rendah bagi menggaji pekerja asing tanpa khidmat orang tengah atau agen yang mengenakan kos sehingga RM6,000 bagi seorang pekerja.

“Contohnya, bagi kontraktor gred satu hingga gred tiga, mereka perlu diberi kelonggaran dengan pemberian permit atau kuota syarikat bagi mengambil pekerja asing” katanya ketika ditemui di pejabat PKMM di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan kontraktor turut berdepan kenaikan harga bahan mentah binaan terutamanya besi yang mencecah sehingga 30 peratus.

“Sebagai contoh, jika harga rumah ditetapkan Melaka Finance House sebanyak RM80,000 atau SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) tetapkan harga rumah RM60,000, tetapi harga bahan mentah naik, jadi dalam situasi itu kontraktor tidak mendapat keuntungan.

“Jadi kita sarankan kerajaan menetapkan harga siling bagi bahan binaan supaya pembekal tidak memanipulasi harga berkenaan.

“Kalau dulu harga besi konkrit, RM2,200 per tan namun harga terkini bahan itu mencecah sehingga RM3,000 per tan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PKMM, Asmuni Sajat berkata sekiranya kerajaan membenarkan kontraktor rendah dibenarkan mengambil pekerja asing secara terus, kaedah itu dapat meningkatkan ekonomi syarikat.

“Itu rantaian konsep yang perlu diberi perhatian bagi mengelakkan syarikat kontraktor kecil itu daripada ‘gulung tikar’ dan menjana sumber pendapatan sendiri,” katanya.

Views:

509
Kongsi :
Previous post 8 lokaliti aktif wabak denggi di Melaka
Next post COVID-19: Kes positif di Melaka menurun
Ubah saiz-+=