Sorting by

×

TVET TAHFIZ: DUNIA DAPAT, AKHIRAT TAK RUGI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TABOH NANING 19 Mei – Gabungan ilmu al-Quran dan kemahiran menerusi Program TVET Tahfiz melahirkan individu Muslim yang memiliki pengetahuan seimbang antara dunia juga akhirat.

Penuntut TVET Tahfiz Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Selandar Muhammad Firdaus Ahmad, 22, berkata, program itu memberikan nilai tambah buat dirinya dan amat berguna dalam merancang masa hadapan.

“Islam juga menyarankan kita supaya sentiasa menuntut ilmu, ia tidak terhad kepada urusan akhirat semata-mata tetapi pelbagai perkara melibatkan dunia termasuk kemahiran menerusi kursus Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Semoga peluang diberikan kepada saya dan rakan-rakan lain akan menjadi contoh dan ikutan kepada adik-adik atau belia di Melaka,” katanya yang mengikuti Kursus Lukisan Perpaipan Minyak dan Gas.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sesi Towh Hall Bersama Pelajar Institut Teknologi Automotif Termaju Proton (Proton Institute) Dan ADTEC JTM Di Negeri Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Proton Institute, di sini, semalam.

Sementara itu penuntut Proton Institute Muhammad Faiz Zaquan Mohd Faisal, 20, berkata, perkongsian disampaikan Ketua Menteri membuka matanya dalam mencorak masa hadapan selepas melangkah ke alam pekerjaan nanti.

“Apa yang disampaikan oleh Ketua Menteri juga menjadikan saya bersemangat untuk terus meneroka dunia TVET yang sebenarnya menawarkan banyak peluang.

“Insya-Allah sebagai penuntut TVET peluang pekerjaan untuk kami lebih terjamin, lebih lagi Melaka ketika ini menjadi tumpuan pelabur dan Kerajaan Negeri juga sedang mewujudkan banyak kawasan perindustrian baharu,” katanya yang mengikuti Kursus Teknologi Elektrikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

83
Kongsi :
Previous post ROCK MELON SATUKAN KOMUNITI MELAKA PINDAH