Sorting by

×

ROCK MELON SATUKAN KOMUNITI MELAKA PINDAH

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

MACHAP JAYA 19 Mei – Bermula daripada tanah lapang yang sekian lama terbiar, sekumpulan penduduk di Kampung Tersusun Melaka Pindah kini berjaya mengubahnya menjadi ladang fertigasi moden yang mengeluarkan hasil premium.

Lebih membanggakan, projek tanaman ‘rock melon’ di bawah geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) itu bukan sahaja menghasilkan buah berkualiti tinggi, malah menjadi simbol kesepaduan apabila penduduk berganding bahu dari peringkat awal penyediaan tapak hingga ke proses penuaian.

Pengerusi Persatuan Komuniti Kampung Tersusun Melaka Pindah Zakbah Yaakop berkata, projek berkenaan bermula selepas pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM100,000 daripada kerajaan melalui Geran Sejati MADANI tahun lalu.

Katanya, peruntukan itu digunakan sepenuhnya bagi membangunkan infrastruktur asas termasuk meratakan tanah, membina pagar, menyediakan bekalan air dan elektrik, selain membina rumah hijau untuk tanaman.

“Alhamdulillah, dalam tempoh sebulan sahaja selepas menerima geran, kita berjaya menyiapkan keseluruhan projek dan terus memulakan penanaman.

“Sekarang ini kita sudah memasuki musim keempat dengan satu pusingan tanaman mengambil masa kira-kira tiga bulan, termasuk tempoh penuaian dan rawatan semula pokok.

“Setiap pusingan mampu menghasilkan kira-kira 1,000 biji buah daripada keseluruhan 1,350 pokok yang ditanam dalam dua rumah hijau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pengalaman beberapa musim terdahulu membantu komuniti di kampung itu memperbaiki kaedah penanaman, sekali gus mengurangkan risiko penyakit tanaman.

“Pada awalnya kita cuba tanam pelbagai jenis melon seperti honey melon, musk melon dan golden melon, tetapi selepas melihat hasil dan cabaran penyakit, kita fokus kepada golden melon sahaja.

“Golden melon lebih cepat dituai, sekitar dua bulan sahaja, selain mempunyai permintaan tinggi dan tahap kemanisan yang boleh mencecah bacaan 16 brix,” katanya.

Beliau berkata, hasil tanaman itu dijual pada harga RM10 sekilogram, lebih rendah berbanding harga pasaran sekitar RM16, bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Sambutan diterima amat menggalakkan apabila ramai pelanggan membuat pembelian berulang, malah ada yang datang dari luar Melaka untuk mendapatkan buah tersebut.

“Alhamdulillah projek ini turut menjadi medan pembelajaran apabila kita menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan bagi meningkatkan kualiti hasil.

“Saya turut mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas pegawai pertanian serta menjalin hubungan dengan pengusaha melon di negeri lain bagi menimba ilmu dan berkongsi kepakaran,” katanya.

Tambahnya, walaupun pada peringkat awal terpaksa berdepan pelbagai cabaran seperti penyakit pokok dan buah, namun dari musim ke musim dia berjaya mengatasi masalah tersebut.

“Musim ketiga menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan dengan buah lebih besar dan berkualiti.

“Saya harap tanaman ini dapat diteruskan walaupun tempoh pemantauan geran berakhir, selain bersedia menerima sebarang bantuan atau peruntukan baharu daripada pihak berkaitan.

“Kejayaan projek ini banyak bergantung kepada sokongan komuniti yang terdiri daripada penduduk, khususnya golongan pesara yang aktif membantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

59
Kongsi :
Previous post MAIM SASAR 4,000 PEK PROJEK SUNDUK KORBAN TAHUN INI