Sorting by

×

MELAKA CADANG KPM TARIK BANTUAN PELAJAR KERAP PONTENG

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 18 Mei – Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya supaya menarik balik bantuan persekolahan diberikan terhadap pelajar yang didapati kerap ponteng.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan itu melibatkan pelajar yang ponteng secara berterusan sehingga mencecah dua hingga tiga bulan setahun.

Katanya, langkah itu bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar menghargai peluang pendidikan diberikan.

“Kita telah memberikan cadangan kepada KPM supaya bantuan ditarik balik kepada pelajar yang kerap ponteng kerana ia tidak adil kepada pelajar yang hadir ke sekolah dengan baik.

“Bila bantuan ditarik balik sekurang-kurangnya ibu bapa dan pelajar akan bertanya punca mereka tidak menerima bantuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pihaknya mendapati antara faktor utama pelajar ponteng sekolah ialah ketagihan permainan video dan penggunaan gajet berlebihan sehingga lewat malam.

Tambahnya, pelajar terutama tingkatan empat dan tingkatan lima didapati mudah terpengaruh dengan permainan dalam talian dan media sosial sehingga gagal bangun awal untuk ke sekolah.

“Pelajar sekarang leka bermain permainan video dan telefon bimbint sehingga jam dua ke tiga pagi.

“Sebab itu peranan ibu bapa penting memantau dan memastikan penggunaan gajet dikawal supaya isu ponteng dan lewat ke sekolah dapat dikekang.

“Isu ponteng dan lewat ke sekolah ini bukan sahaja berlaku di Melaka malahan ia berlaku di semua negeri dan diharapkan pihak sekolah serta semua pihak dapat memainkan peranan menangani isu ini dari berlarutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post KIKIS PERSEPSI TVET BIDANG PILIHAN KEDUA