
TVET TAHFIZ: MELAKA MAHU LAHIRKAN INSAN BERILMU, BERTEKNOLOGI
TABOH NANING 18 Mei – Lebih banyak peluang akan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu pelajar tahfiz seluruh Melaka untuk terlibat secara langsung dalam kursus Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka mempunyai 75 sekolah tahfiz berdaftar dengan 2,839 orang pelajar secara keseluruhan.
Katanya menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan insan yang bukan sahaja berpengetahuan dalam ilmu agama tetapi memiliki nilai tambah yang lebih luas dalam pasaran kerja moden.
“Sebab itu Kerajaan Negeri melaksanakan TVET Tahfiz secara berfasa melalui pelbagai institusi seperti ADTEC JTM Selandar, ILP Bukit Katil, GIATMARA Simpang Ampat dan Kolej Komuniti Kota Melaka.
“Mereka ini diberikan pendedahan kemahiran menerusi kursus teknologi komputer, multimedia, reka bentuk industri, minyak dan gas, micro-credential serta kursus jangka pendek,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sesi Towh Hall Bersama Pelajar Institut Teknologi Automotif Termaju Proton (Proton Institute) Dan ADTEC JTM Di Negeri Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka di Auditorium Proton Institute, di sini, hari, ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Sdn Bhd Datuk Ir. Abdul Rashid Musa serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zilkiflee Mohd Zin, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta Pengarah Proton Institute Ts. Dr. Norhuda Salim.
Ab Rauf berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk lebih 100 peserta di ADTEC Selandar.
“Dalam masa yang sama, kita sedang memperluas sektor TVET melalui Persijilan Profesional Menyelam Dasar Laut di Pulau Besar, iaitu inisiatif pertama seumpamanya di dunia.
“Kerajaan Negeri akan terus memperluas peluang ini supaya lebih ramai pelajar tahfiz dapat membina laluan kerjaya yang lebih luas, relevan dan berdaya saing dalam ekonomi semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

