Sorting by

×

PEMERKASAAN TVET ELAK PENGHIJRAHAN BELIA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TABOH NANING 18 Mei – Pelaksanaan dasar, perancangan dan pelaburan yang masuk ke negeri ini mesti memberikan manfaat kepada rakyat termasuk graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Komitmen Kerajaan Negeri yang berterusan memperkasakan TVET juga dilihat mampu untuk mengelakkan penghijrahan belia Melaka ke negeri luar demi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sehubungan itu setiap pelaburan yang masuk ke Melaka akan dipastikan benar-benar memberi impak tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk anak jati negeri ini.

Katanya, setakat ini pelaburan yang dibawa masuk dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu menerusi pembukaan kawasan perindustrian strategik seperti Melaka Hi-tech Park, German Technology Park, Melaka Halal Hub 2.0 dan banyak lagi.

“Pada 2025 sahaja lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan diisi oleh graduan TVET. Selain itu kita juga mempekukuhkan lagi laluan TVET menerusi 61 institusi latihan Negeri Melaka bagi melahirkan tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan mengikut keperluan industri.

“Ketiga, kita membangunkan ekosistem tempatan yang menyokong pertumbuhan bakat dan peluang kerjaya supaya graduan TVET terus melihat Melaka sebagai negeri yang mempunyai prospek masa depan,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sesi Towh Hall Bersama Pelajar Institut Teknologi Automotif Termaju Proton (Proton Institute) Dan ADTEC JTM Di Negeri Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka di Auditorium Proton Institute, di sini, hari, ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Sdn Bhd Datuk Ir. Abdul Rashid Musa serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zilkiflee Mohd Zin, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta Pengarah Proton Institute Ts. Dr. Norhuda Salim.

Katanya, beberapa lagi inisiatif lain turut dilaksanakan adalah Program Usahawan Muda, Program Sukarelawan Belia, Paramedik Komuniti (PARAKOM), Agro Belia.

“Hasilnya, daripada usaha bersepadu ini, alhamdulillah kadar pengangjuran siswazah menurun daripada 1.7 peratus pada 2023 kepada 1.4 peratus pada tahun lalu, sementara itu jumlah siswazah bekerja meningkat daripada 163,100 kepada 172,100 orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post JANGAN RASA KERDIL TETAPI BANGGA JADI GRADUAN TVET