
TUKAR BARANG JADI DUIT DI JASIN, 23 MEI INI
JASIN 18 Mei – Budaya kitar semula terus diperkasakan di Jasin menerusi Program ‘Asal Barang Jadi Duit’ yang akan diadakan di Vista Alamanda MPJ, 23 Mei ini.
Program yang bermula pada jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu membuka peluang komuniti menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti kitar semula.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, selain kitar semula, pihaknya turut menganjurkan Jom Exchange Al-Quran (JEQ), di mana orang ramai boleh membuat semakan pengesahan al-Quran dan menukar kitab suci yang diragui kepada naskhah baharu yang mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Bagi penukaran al-Quran, ia dihadkan kepada satu naskhah bagi setiap keluarga.
“Manakala, untuk kitar semula, antara barangan boleh ditebus kepada duit adalah sisa fabrik pada kadar RM0.05 sekilogram, minyak masak terpakai RM3 sekilogram, e-waste (sisa elektronik dan elektrik) RM0.30 sekilogram serta sisa 3R mengikut harga KITARecycle.
“Kita mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Melaka khususnya penduduk Jasin dan kawasan sekitar untuk bersama menjayakan program ini demi kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, inisiatif itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara berhemah di samping memupuk nilai tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Program ini bukan saja memberi manfaat dari sudut ekonomi melalui aktiviti kitar semula, malah menyokong usaha memastikan kesucian al-Quran dipelihara melalui semakan dan penukaran naskhah yang mempunyai perakuan KDN,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

