
WARISI KEPIMPINAN BAPA, DARI USAHAWAN JADI WAKIL RAKYAT
MACHAP JAYA 18 Mei – Bermula sebagai seorang usahawan dalam bidang bahan binaan dan perusahaan kilang papan di Selandar, siapa sangka anak jati Alor Gajah ini bakal bergelar seorang wakil rakyat dan memimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Itu perjalanan karier Datuk Ngwe Hee Sem yang kini hampir lima tahun bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya selain turut menjawat jawatan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri.
Mesra dengan panggilan Ah Sem, beliau berkata, perjalanan politiknya itu didorong oleh legasi kepimpinan bapanya yang merupakan seorang ketua cawangan di Selandar suatu ketika dahulu.
Katanya, dari situ, dia mula menyertai MCA pada tahun 1995 dan sehingga kini telah lebih tiga dekad bersama parti itu, bermula sebagai ahli cawangan dan Pemuda sebelum memegang pelbagai jawatan lain.
Sepanjang tempoh itu, beliau menimba banyak pengalaman bersama beberapa pemimpin terdahulu yang banyak membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat.
“Sejak kecil saya sudah terdedah dengan suasana politik apabila melihat orang kampung datang ke rumah bertemu ayah saya yang merupakan ketua cawangan di Kampung Selandar dan itulah titik mula saya berminat untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Apabila menyertai parti, saya sering mengikuti program bersama pemimpin seperti Tan Sri Fong Chan On; mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam; Datuk Lai Meng Chong dan Datuk Wira Koh Nai Kwong. Dari situ saya belajar banyak perkara tentang perjuangan dan khidmat kepada rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.
Menurut Hee Sem, hubungannya bersama masyarakat setempat di Alor Gajah boleh disifatkan bagai isi dengan kuku berkat daripada karier dalam bidang perniagaan.
Justeru, apabila dipilih menjadi calon Machap Jaya oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, beliau sama sekali tidak gentar, sebaliknya yakin mampu memenangi hati pengundi dan berkhidmat dengan baik di kawasan itu.
“Keyakinan itu datang kerana saya sudah lama berkhidmat untuk parti dan masyarakat. Sebagai ahli perniagaan, saya juga mengenali ramai penduduk setempat termasuk pelanggan saya sendiri,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

