Sorting by

×

TINDAKAN SMK SUNGAI RAMBAI TUTUP PAGAR DIPERSETUJUI PIBG

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PENGKALAN BATU 18 Mei – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mempertahankan tindakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai menutup pintu pagar sekolah pada jam 7.30 pagi bagi mengatasi isu pelajar yang kerap ponteng dan hadir lewat ke sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tersebut dilaksanakan selepas dipersetujui dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Katanya, tindakan itu dilaksanakan dari Januari hingga April lalu membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah tersebut yang mempunyai seramai 663 pelajar keseluruhan.

“Pihak sekolah mengambil langkah tersebut selepas SMK Sungai Rambai merekodkan kehadiran paling rendah dengan purata kehadiran hanya 90.27 peratus.

“Mengikut rekod, sejak Januari hingga April jumlah kekerapan ponteng direkodkan sebanyak 1,550 kes dengan purata 23 pelajar tidak hadir setiap hari.

“Daripada jumlah tersebut mengikut julat hari seramai 429 pelajar direkodkan tidak hadir antara satu hingga 10 hari; 88 pelajar tidak hadir untuk tempoh 11 hingga 20 hari; 14 pelajar (21 hingga 30 hari dan 19 pelajar dikesan tidak hadir bagi tempoh lebih 30 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, seramai 12 pelajar telah dikenal pasti lewat ke sekolah membabitkan seorang pelajar tingkatan dua, tingkatan tiga (lima pelajar); tingkatan empat (empat pelajar) dan dua pelajar tingkatan lima.

Tambahnya, pengetua sekolah itu terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah dan keputusan itu bukan keputusan semberono kerana mendapat persetujuan PIBG.

“Tindakan ini bagi memastikan disiplin dan kehadiran murid dapat ditingkatkan, sekolah ini juga merupakan sekolah paling rendah mengikut rekod kehadiran dalam daerah Jasin.

Diminta mengulas mengenai isu gegantung yang dipasang berhampiran sekolah itu, Rahmad berkata gegantung itu dipercayai telah diletakkan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah tersebut.

Tambah Rahmad, pemasangan gegantung itu dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa dan bertujuan menjatuhkan reputasi pengetua yang sudah dua tahun berkhidmat di sekolah tersebut.

“Pihak sekolah telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin telah dimaklumkan mengenai isu itu pada 17 Mei lepas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post PEMERKASAAN TVET ELAK PENGHIJRAHAN BELIA MELAKA