
ANAK TVET MELAKA PERLU JADI PENCETUS INOVASI
TABOH NANING 18 Mei – Penuntut kursus Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak boleh terus berada dalam zon selesa dengan sekadar menerima dan mengamalkan apa yang dipelajari di institusi kemahiran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, penuntut TVET perlu menanam azam untuk menjadi individu berkemahiran dan paling penting mampu menjadi pencetus inovasi, penggerak industri dan menjadi generasi yang akan menentukan hala tuju teknologi negara pada masa hadapan.
Katanya, teknologi tidak sepatutnya hanya berada di kilang, makmal atau milik industri semata-mata tetapi mesti sampai kepada kehidupan rakyat, menyelesaikan masalah sebenar dan memudahkan urusan harian.
“Dunia anda jauh berbeza daripada zaman saya, jika dahulu seorang mekanik hanya perlu faham tentang enjin dan komponen asas. Tetapi hari ini tenaga mahir juga perlu memahami sistem komputer, sensor, ‘software’ (perisian), data dan teknologi pintar.
“Perubahan ini bukan lagi cerita masa depan, sebaliknya sedang berlaku di depan mata kita sekarang, Dunia pekerjaan berubah, industri berubah cara manusia bekerja juga berubah,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sesi Towh Hall Bersama Pelajar Institut Teknologi Automotif Termaju Proton (Proton Institute) Dan ADTEC JTM Di Negeri Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka di Auditorium Proton Institute, di sini, hari, ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Sdn Bhd Datuk Ir. Abdul Rashid Musa serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Yang turut hadir Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zilkiflee Mohd Zin, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta Pengarah Proton Institute Ts. Dr. Norhuda Salim.
Ab Rauf berkata, untuk terus berdaya saing anak-anak TVET Melaka juga tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencetus inovasi mampu membangunkan penyelesaian baharu, mencipta sistem yang lebih efisien serta membawa nilai tambah kepada kehidupan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

