Sorting by

×

DGR MELAKA 2026: MENARA TAMING SARI LOKASI IKONIK PERMOTORAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 19 Mei – Menara Taming Sari terus mencuri tumpuan sebagai lokasi sesuai penganjuran The Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) Melaka 2026, sekali gus dilihat berpotensi menjadi tarikan pelancongan motosikal serantau pada masa hadapan.

Penganjur DGR Melaka 2026, Chris Raja, 41, berkata, pemilihan Menara Taming Sari sebagai lokasi program tersebut kerana kedudukannya yang strategik dan mempunyai kawasan yang luas bagi penganjuran aktiviti permotoran.

Katanya, sokongan Kerajaan Negeri serta komuniti motosikal klasik dan moden di negeri ini turut menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Melaka sebagai hab acara permotoran bertaraf antarabangsa.

“Menara Taming Sari bukan sekadar lokasi ikonik pelancongan malah memberi nilai tambah apabila menjadi pusat aktiviti komuniti motosikal yang mampu menarik penyertaan dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Program DGR Melaka 2026 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Chris berkata, penganjuran program itu turut disertai peserta dari Indonesia dan Filipina selain beberapa negeri di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

Tambah Chris, beliau turut mencadangkan penganjuran International Bike Week bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 bagi mengukuhkan lagi sektor pelancongan berasaskan permotoran.

“Melaka mempunyai potensi besar kerana minat terhadap motosikal klasik dan moden ini sangat luas. Jika dianjurkan secara lebih besar, ia pasti menarik lebih ramai pelancong dan komuniti permotoran antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

138
Kongsi :
Previous post MAIM SASAR 150 SAUDARA BAHARU PELUK ISLAM TAHUN INI