
MAIM SASAR 4,000 PEK PROJEK SUNDUK KORBAN TAHUN INI
AYER KEROH 19 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Projek Sunduk Korban yang digerakkan bersama Gabungan Dakwah Melaka menyasarkan pengumpulan sehingga 4,000 pek daging korban pada tahun ini.
Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, jumlah itu meningkat berbanding 3,200 pek yang berjaya dikumpulkan pada tahun lalu.
Katanya, program cetusan idea mantan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
“Setiap tahun apabila Aidiladha tiba program ini pasti akan diteruskan menerusi lebihan daging korban yang tidak diagihkan akan kita kumpul, asingkan tulang kemudian dibungkus secara kedap udara menggunakan teknologi ‘retort’ sebelum disimpan sejuk beku.
“Daging ini jika dibungkus dengan cara betul betul boleh bertahan sehingga dua tahun. Daging sunduk korban ini akan diberikan kepada golongan memerlukan seperti miskin, asnaf dan mualaf yang susah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin berkata, sebahagian daging lebihan yang dikumpulkan itu turut diproses menjadi makanan sedia dimakan seperti rendang, masak kurma dan pelbagai lagi menggunakan teknologi ‘retort’.
“Tujuan kita laksanakan pelbagai kaedah ini bagi memudahkan urusan penerima dan penggunaan teknologi retort yang digunakan benar membantu memanjangka jangka hayat makanan tersebut.
“MAIM juga mengalu-alukan sekiranya orang ramai yang mempunyai lebihan daging korban digalakkan untuk menyumbang kepada projek ini supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai penerima,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

