Sorting by

×

MELAKA BUKAN NEGERI ‘LALAI’, PERUNTUK RM335 JUTA SETAHUN PERKUKUH SYIAR ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Persepsi mengaitkan Melaka sebuah negeri yang lalai kerana didakwa melebihkan acara hiburan berbanding keagamaan merupakan satu tanggapan yang sama sekali tidak benar.

Hakikatnya, tegas Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman negeri ini sentiasa mengimbangi duniawi dan ukhrawi, malah lebih banyak menganjurkan program berbentuk ukhrawi saban tahun.

Jelas beliau, perkara itu dibuktikan apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan RM335 juta setahun untuk semua agensi agama Islam di Melaka, di mana ia jauh lebih besar berbanding perbelanjaan untuk sektor pelancongan.

Tidak hanya itu, beliau memaklumkan, secara tahunan sebanyak lebih 3,500 program keagamaan diadakan merangkumi pelbagai pengisian ke arah memperkukuh syiar Islam di negeri ini.

“Antara bentuk program yang diadakan adalah seperti ceramah, program selawat, sambutan Maulidur Rasul, ihya Ramadan, belia masjid, pendidikan al-Quran, konvoi kembara masjid dan bermacam-macam lagi.

“Tapi semua ini ramai yang tidak nampak, yang mereka lihat seolah-olah Melaka ini kota hiburan kerana ia lebih tular dan banyak dikongsikan di media sosial.

“Jadi, saya menyeru umat Islam untuk mengimarahkan program-program keagamaan yang dianjurkan ini kerana walaupun tidak menawarkan hadiah cabutan bertuah dan sebagainya, namun apa yang pasti semua yang hadir dijamin akan membawa pulang pahala yang akan menjadi bekalan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek memaklumkan selain program, Kerajaan Negeri juga amat cakna dengan kebajikan golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini.

Jelas beliau, setiap tahun dianggarkan RM200 juta dibelanjakan untuk membantu golongan asnaf menerusi pelbagai skim dan bantuan yang disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

56
Kongsi :
Previous post DELIMa: PELAJAR BOLEH BAWA GAJET KE SEKOLAH