Sorting by

×

SK PAYA RUMPUT PERINTIS ‘AI POWERED CLASSROOM’ DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PAYA RUMPUT 20 Mei – Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput dipilih sebagai sekolah perintis pelaksanaan ‘AI Powered Classroom’ di Melaka sekali gus menjadi peneraju awal transformasi pendidikan digital di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Guru Besar SK Paya Rumput Rozahiran Hamzah berkata, pemilihan sekolah tersebut oleh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM adalah penghargaan besar kepada warga sekolah selain membuka ruang untuk memperkukuh pelaksanaan pembelajaran berasaskan teknologi.

“Peruntukan sebanyak RM10,000 yang disumbangkan oleh KPM akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan pembangunan kelas yang lebih aktif dan berkesan di SK Paya Rumput.

“Saya mewakili warga sekolah dan PIBG merakamkan penghargaan kepada KPM kerana memilih sekolah ini sebagai perintis pelaksanaan kelas digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran AI Powered Classroom Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad di SK Paya Rumput, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi KPM Aniza Kamarulzaman dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Karim Tumin.

Rozahiran berkata, pihak sekolah turut melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk latihan berterusan kepada guru melalui bengkel berkaitan Kecerdasan Buatan (AI), selain memperkukuh kemahiran tenaga pengajar dengan kerjasama jurulatih pakar teknologi pendidikan.

“SK Paya Rumput juga merancang untuk memperluaskan kolaborasi dengan sekolah-sekolah berhampiran bagi memastikan pelaksanaan ‘AI Powered Classroom’ dapat dikongsi dan diperluaskan ke seluruh Negeri Melaka.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat peningkatan minat murid terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru juga lebih celik digital dan ibu bapa memberi komitmen tinggi terhadap pendidikan digital anak-anak,” katanya.

SK Paya Rumput turut memperkukuh inisiatif digital melalui penggunaan pelbagai platform seperti Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), Google Classroom, Kahoot, Wordwall dan ACE-IT (Sasbadi), selain pendekatan pembelajaran berasaskan eksplorasi seperti DIVE – Discover, Inspire, Volunteer dan Empower.

Pada masa sama, sekolah itu turut meningkatkan infrastruktur digital termasuk capaian internet menyeluruh di kawasan sekolah, penggunaan smartboard serta smart TV di semua kelas, selain pemerkasaan peranti yang dibekalkan KPM.

Setakat ini, 100 peratus kelas di SK Paya Rumput telah dilengkapi kemudahan digital termasuk dua kelas rintis AI Powered Classroom iaitu Kelas 4 Kripton dan 6 Kripton, selain 34 kelas lain yang dilengkapi smart TV termasuk kelas prasekolah dan Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

173
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKAN NEGERI ‘LALAI’, PERUNTUK RM335 JUTA SETAHUN PERKUKUH SYIAR ISLAM