Sorting by

×

8,000 dijangka hadir ke Festival Kota Selatan 2022

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 6 Ogos – Festival Kota Selatan 2022 yang berlangsung selama dua hari bermula malam ini menyasarkan kira-kira 8,000 pengunjung.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), festival kali ini adalah yang pertama dianjurkan secara fizikal dan sudah pasti Persembahan Sentuhan Selatan dinantikan.

Beliau berkata, festival yang mengumpulkan kesenian dan kebudayaan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor ini adalah platform yang dapat memberi pendedahan serta didikan budaya kepada masyarakat.

TIMBALAN Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Amran Mohd Haris (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor, Rahmat Md Noh (tiga dari kanan) hadir melihat persembahan tarian pada persembahan showcase Sentuhan Selatan Nuansa Seni Budaya Rakyat Selatan Semenanjung Malaysia Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Pentas Jonker Walk, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Kita sasarkan kehadiran pengunjung seramai 3,000 pada malam ini dan esok kemuncaknya Malam Gala Kota Selatan Vaganza pula kita anggarkan kira-kira 5,000 akan hadir.

“Dengan kolaborasi antara tiga negeri ini kita harap ia akan menjadi platform untuk tonjolkan kesenian serta budaya setiap negeri dan supaya dapat menjadi didikan budaya,” katanya.

KECERIAAN pengunjung jelas kelihatan ketika melihat persembahan tarian pada persembahan showcase Sentuhan Selatan Nuansa Seni Budaya Rakyat Selatan Semenanjung Malaysia Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Pentas Jonker Walk, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persembahan Sentuhan Selatan, di Jonker Walk, di sini, malam tadi.

Menurutnya, pemilihan Jonker Walk sebagai lokasi penganjuran dilihat bertetapan kerana dapat membawa kepelbagaian kesenian dan secara tidak langsung pelancong yang hadir dalam melihat keunikan kesenian serta budaya yang terdapat di negeri lain.

“Semua sedia maklum Jonker Walk sinonim dengan masyarakat cina jadi apa salahnya kita membawa kesenian yang pelbagai di sini,” katanya.

Ujar Mohd Amran, selepas Melaka, Festival Kota Selatan pada tahun hadapan akan diadakan di Johor dan sudah pasti akan ada keunikan yang akan dipersembahkan.

Sementara itu, Pengarah JKKN Johor, Rahmat Md Noh berkata, selain tarian zapin yang begitu sinonim dengan negeri Johor, pada persembahan ini juga kumpulannya turut persembahkan samrah.

PENGUNJUNG dan pelancong yang hadir melihat persembahan tarian pada persembahan showcase Sentuhan Selatan Nuansa Seni Budaya Rakyat Selatan Semenanjung Malaysia Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di Pentas Jonker Walk, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Setiap negeri ada keunikan persembahan mereka untuk disajikan kepada penonton yang hadir jadi untuk kami selain zapin kita juga menampilkan kumpulan samrah.

“Melalui persembahan kesenian dan kebudayaan ini ia dapat memberi mesej kepada penonton bagaimana Keluarga Malaysia dapat diadun dengan seni budaya selain bertapa pentingnya perpaduan supaya seni budaya terus dapat disemarak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Malam ‘magis’ di bumi Melaka
Next post ATM pertingkatkan keberadaan anggota dan aset di Sarawak
Ubah saiz-+=