8,000 DIJANGKA SERBU MENARA TAMING SARI 31 OGOS INI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PAYA RUMPUT 23 Julai – Menara Taming Sari menjangkakan kira-kira 8,000 pengunjung akan memanfaatkan tawaran kemasukan percuma ke produk pelancongan ikonik itu sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima pada tahun lalu apabila hampir 7,000 pengunjung direkodkan, selain mengambil kira cuti hujung minggu yang lebih panjang tahun ini.

Katanya, pihak pengurusan telah membuat persiapan rapi termasuk dari aspek operasi dan tenaga kerja bagi memastikan pengalaman pengunjung berjalan lancar.

“Kami menjangkakan Menara Taming Sari sekali lagi menjadi tumpuan orang ramai sempena tawaran kemasukan percuma pada 31 Ogos.

“Tahun lalu hampir 7,000 pengunjung direkodkan dan kali ini kami menyasarkan sehingga 8,000 pengunjung, lebih-lebih lagi dengan cuti hujung minggu yang bersambung, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pelancong dan rakyat tempatan menikmati tarikan di Menara Taming Sari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Menyantuni dan Beramah Mesra Bersama Warga Emas Rumah Seri Kenangan Cheng, di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, MTSB turut berharap kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijalinkan pada tahun lalu dapat diteruskan bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Tahun lalu beberapa NGO turut bersama-sama menyantuni pengunjung dengan mengagihkan makanan secara percuma dan kami berharap kolaborasi seperti ini dapat diteruskan kerana ia menambah kemeriahan sambutan,” katanya.

Nur Azan berkata, pihaknya komited memastikan setiap pengunjung menikmati pengalaman yang selesa dan berkualiti sepanjang berada di Menara Taming Sari.

“Matlamat kami bukan sekadar memberi peluang kepada orang ramai menikmati tarikan menara ikonik berputar ini secara percuma, tetapi juga memastikan mereka membawa pulang pengalaman yang indah dan bermakna apabila berkunjung ke sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post SOKONGAN MAIM BANTU ASNAF TERUS KUAT
Next post MELAKA NEGERI PERTAMA WUJUDKAN E-MEL RAKYAT