SOKONGAN MAIM BANTU ASNAF TERUS KUAT

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 Julai – Di sebalik senyuman yang terukir, tersirat kelukaan pada hati warga emas ini yang terpaksa menerima hakikat bahawa pergerakannya kini sudah terbatas selepas kaki kanannya terpaksa dipotong  akibat komplikasi diabetes.

Namun keprihatinan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang tidak pernah meminggirkan golongan memerlukan menjadi sinar baharu buat Mohd Noor Mohd Yusof, 63, apabila bantuan dihulur amat meringankan beban hidupnya yanng menghidap diabetes sejak 15 tahun lalu.

Mohd Noor mengakui terharu apabila menerima kunjungan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman bersama Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad ke kediamannya bagi menyalurkan sumbangan selain bertanyakan khabar mengenai perkembangan kesihatannya ketika ini.

“Saya rasa sangat terharu apabila beliau (Rahmad) datang sendiri ke rumah saya bersama Setiausaha MAIM dan pegawai-pegawai lain, ada juga teman untuk berbual, dapat juga berkongsi kisah hidup.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada MAIM kerana sentiasa mengambil berat serta menghulurkan bantuan yang sangat bermakna lebih-lebih dalam keadaan saya sekarang ini yang semakin uzur,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menerima kunjungan MAIM di rumah sewanya di Kampung Hulu, pada Selasa.

Bekas penyelia di sebuah kilang elektronik ini berkata, dia berteduh di rumah berkenaan sejak setahun lalu dan kos sewaan sebanyak RM350 setiap bulan ditanggung sepenuhnya oleh MAIM.

“Kehidupan saya sekarang sederhana sahaja, tetapi saya reda kerana apa yang ada ini sudah mencukupi. Makan dan minum pula soal besar kerana saya belajar berjimat dan bersederhana dalam berbelanja.

“Saya tinggal seorang diri, tetapi mujur ada anak angkat dia yang banyak membantu menguruskan keperluan harian saya. Terima kasih kepada MAIM kerana sentiasa mengambil berat. Saya lihat MAIM banyak membantu golongan asnaf seperti saya dan bantuan ini benar-benar memberi harapan kepada kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post LTDL 2026: RAIKAN SEMANGAT KESUKANAN, PROMOSI PELANCONGAN MELAKA