85 negara iktiraf sukan pencak silat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Sebanyak 85 negara sudah mengiktiraf pencak silat sebagai salah satu sukan seni bela diri di dunia.

Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) Datuk Seri Probowo Subianto berkata, ia membuktikan bahawa sukan berkenaan sudah mula dipandang tinggi dan menyumbang kepada kemeriahan industri sukan.

Beliau turut menegaskan pencak silat merupakan sebuah seni yang diwujudkan bagi mempertahankan diri, keluarga, agama dan negara.

“Ia bukanlah seni bela diri yang digunakan untuk keganasan dan sama sekali tidak menanamkan sikap kebencian.

“Pencak silat sebuah sukan yang mempromosikan sikap terpuji seorang manusia dengan semangat seorang pendekar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Upacara perasmian telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Penasihat Kehormat PESAKA Datuk Seri Najib Razak; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria, Presiden PESAKA Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin dan lain-lain kenamaan.

Untuk rekod, Kejuaraan Silat Dunia 2022 bakal menampilkan lebih 500 pesilat dari 40 buah negara bagi merebut gelaran juara dunia.

Antara negara yang mengesahkan penyertaan mereka ialah India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir dan Amerika Syarikat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1512
Kongsi :
Previous post Melaka bangkit semangat kepahlawanan Melayu
Next post ‘Mat Kilau’ buat kemunculan
Ubah saiz-+=