Sorting by

×

9 DEKAD, IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU MELAKA LAHIR RIBUAN PENDIDIK

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 10 September – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka yang berdiri megah di bumi bersejarah Melaka telah melahirkan ribuan pendidik sejak sembilan dekad lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, institusi tersohor yang menyambut ulang tahun ke-90 itu telah terbukti menjadi tapak bermulanya suluhan ilmu yang membentuk peribadi guru wanita yang unggul dan berwibawa.

Menurut beliau, IPG Kampus Perempuan Melayu atau dahulu dikenali sebagai Maktab Perguruan Perempuan Melayu (MPPM) bukan sekadar sebuah kampus, tetapi ia juga nadi kepada kelahiran pendidik yang telah menabur bakti di segenap pelosok tanah air.

“Ramai di antara mereka telah mendaki puncak kejayaan, menjadi pemimpin, pemikir, dan pencetus perubahan dalam dunia pendidikan.

“90 tahun bukan sekadar angka, tetapi lambang keteguhan warisan, keunggulan budi, dan kemuliaan amanah yang terus hidup dalam sanubari masyarakat.

“Sembilan dekad berlalu, namun semangatnya tetap menyala, menjadi nadi kepada kecemerlangan pendidikan negara dan ia bukan hanya institusi, tetapi lambang keunggulan, keteguhan, dan kebanggaan yang terpahat dalam sejarah tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kebangsaan Persatuan Guru Lepasan Maktab Perguruan Perempuan Melayu (PGLMPPM) Peringkat Kebangsaan Yang Ke-40 di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua PGLMPPM Dr. Zainun Ishak; Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka Datin Dr. Norshidah Abu Hussin; Pengerusi PGLMPPM Perhubungan Negeri Melaka Dr. Norida Berhan serta lain-lain kenamaan.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian anugerah tokoh yang dianugerahkan oleh PGLMPPM kepada perwakilan yang banyak menabur jasa dalam arena pendidikan dan pembangunan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post PENTARAMA X: HIBURAN BERMAKLUMAT DIDIK PELAJAR HAYATI NILAI PATRIOTISME
Next post MBMB, PKD MELAKA TENGAH PERANGI DENGGI DI KAMPUNG BACHANG